by Nasrul Hanis
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan agihan dividen sebanyak 5.35% bagi Simpanan Konvensional dan 4.75% untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2022.
Kadar dividen yang terbaru ini adalah lebih rendah berbanding 2021 dim mana dividen bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak 6.10% dan 5.65% untuk Simpanan Shariah.
Kadar dividen ini telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP iaitu Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika taklimat prestasi kewangan KWSP. Menurutnya lagi, portfolio pelaburan KWSP kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran kemelesetan dengan impak yang minimum di sebalik kemelesetan pasaran global yang berterusan pada 2022
Jumlah pembayaran bagi keseluruhan dividen bagi 2022 adalah sebanyak RM51.14 bilion kepada 15 juta ahli di mana pembayaran bagi ahli dengan Simpanan Konvensional adalah sebanyak RM45.44 bilion, manakala untuk ahli dengan Simpanan Shariah adalah sebanyak RM5.7 bilion.
Kita sama-sama berdoa dan mengharapkan agar prestasi ekonomi negara kita akan bertambah baik agar KWSP dapat terus berdaya saing dalam portfolio pelaburannya dan berupaya memberi lebih banyak manfaat termasuk kadar dividen yang lebih tinggi kepada para ahlinya. InsyaAllah.
Sumber Rujukan
Berita Harian, KWSP umum dividen konvensional 5.35 peratus, shariah 4.75 peratus.
by Nasrul Hanis
Kejadian terbaru di mana amaun wang pengguna dilaporkan hilang dari akaun perbankan online masing-masing adalah sesuatu yang harus dipandang serius.
Saya terkenang sejumlah amaun wang saya telah hilang dari akaun online saya sekitar 5 tahun yang lalu. Amaun tersebut telah keluar melalui akaun Paypal dan digunakan untuk membeli sesuatu melalui pasaran antarabangsa. Mujur saya pantas bertindak dengan terus menghubungi servis pelanggan Paypal untuk mendapatkan kembali amaun tersebut. Tapi makan masa jugalah dan pelbagai dokumen sokongan perlu disediakan. Justeru saya sedikit sebanyak memahami apa yang berlaku kepada pengguna perbankan online yang terlibat dengan kehilangan wang ini.
Pastikan Kata Laluan Kuat
Pastikan ID dan kata laluan (password) anda kuat dan sukar untuk diteka oleh orang lain. Kecurian wang dari perbankan online bukan sahaja berlaku melalui penggodam namun boleh juga berlaku sekiranya maklumat akses terdedah atau dapat diteka oleh orang lain. Elakkan dari menggunakan kata laluan yang hampir serupa dengan nama anda, nama ibu bapa, isteri, anak, haiwan peliharaan, nombor kad pengenalan, plet kereta atau yang mudah diteka berdasarkan diri anda.
Gunakan aksara yang pelbagai termasuk simbol untuk menyukarkan orang lain meneka kata laluan anda.
Ambil Tahu Maklumat Keselamatan Terkini Dari Bank
Saya melihat ramai di antara kita yang kurang cakna akan maklumat keselamatan terbaru dari pihak penyedia perbankan online. Menjadi keutamaan bank untuk menyediakan keselamatan terbaik untuk simpanan kita justeru akan ada penambahbaikan ciri-ciri keselamatan dari masa ke semasa.
Jangan hanya ambil tahu soal keselamatan ini apabila anda terlibat dengan kehilangan wang atau hal tersebut viral. Boleh langgan newsletter dari pihak bank untuk sentiasa memperoleh maklumat terkini.
CIMBClicks Dinyatakan Selamat
Rentetan dari kejadian yang berlaku, CIMB telah menyatakan bahawa sistem portal perbankan adalah selamat dan orang ramai tidak perlu risau. Berita selanjutnya di sini: CIMBClicks selamat, orang ramai tak perlu bimbang.
Namun begitu saya berpandangan mereka mesti ada penyelesaian yang meyakinkan untuk masalah ini. Sekiranya hal ini berlarutan, berkemungkinan besar para pengguna akan beralih arah ke penyedia perbankan lain yang diyakini lebih selamat.
by Nasrul Hanis

Mulai hari ini 1 Jun 2018 kadar sifar peratus Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) dilaksanakan. Hal ini secara rasmi diumumkan melalui siaran media oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 27 Mei 2018. GST pada kadar sifar peratus ini adalah satu langkah yang dilaksanakan kerajaan baru Malaysia dipimpin Pakatan Harapan dalam memenuhi manifestonya untuk menghapuskan GST.
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula diumum akan diperkenalkan semula pada 1 September 2018. Jadi ada tempoh di mana tidak ada pengenaan cukai barangan atau tax holiday di Malaysia selama 3 bulan.
Pemantauan Harga Barang
Pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta para pengguna untuk peka dengan harga barang dan memastikan bahawa pelaksanaan GST pada kadar sifar dilaksanakan oleh para peniaga. Buat aduan segera jika masih ada yang mengenakan kadar GST sebelum ini.
Ambil Peluang untuk Berbelanja
Apa yang dijangkakan ialah berlakunya penurunan harga barangan di seluruh negara termasuklah barangan keperluan harian, telefon bimbit dan juga kenderaan. Perkhidmatan seperti perkhidmatan bank juga tidak terkecuali. Justeru di dalam tempoh 3 bulan tanpa kadar cukai atau tax holiday ini, jom ambil peluang untuk berbelanja.
Saya dan isteri sedang membuat perbandingan harga barangan dan merancang untuk membeli barangan tertentu secara pukal terutamanya keperluan harian mereka seperti susu dan lampin untuk anak-anak.
Alhamdulillah anggaplah ini suatu rezeki sempena bulan Ramadhan ini. Walaupun begitu, pastikan kita sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi. Ukurlah baju di badan sendiri.
Rujukan
- Alexander Wong, SoyaCincau.com. 0% GST: iPhone prices reduced up to RM334 in Malaysia
- Bernama – GST 0%: Kereta Perodua lebih murah mulai esok
- Intan Farhana Zainul. The Star Online. A ‘tax holiday’ for all Malaysians
- Manirajan Ramasamy dan Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Nasarudin Parzi, Harian Metro. SST bermula 1 September 2018
- Mazwin Nik Anis, mStar. Peka harga barang selepas GST sifar – KPDNKK
- Muhd Shahizam Tazali, Utusan Online. Perodua tawar penjimatan sehingga RM3,500 tanpa GST
- V. Ragananthini, theSundaily. First tax holiday for Malaysian consumers in 40 years begins tomorrow
by Nasrul Hanis

Seperti biasa selepas bajet untuk tahun depan dibentangkan Menteri Kewangan, bertambah ramai yang mula berbicara soal kewangan.
Namun bicara soal kewangan adalah sesuatu yang bukan bermusim pada masa ini memandangkan hal-hal berkaitan kewangan seperti pengurusan kewangan dan aset pelaburan sentiasa menjadi topik yang popular dibualkan.
Peningkatan kos sara hidup bukanlah sesuatu yang pelik lagi untuk diperkatakan. Nak tak nak kena juga kita hadap.
Jadi bagaimana?
[continue reading…]