Alhamdulillah syukur kini kita sekali lagi dikurniakan rezeki melangkah ke bulan mulia Ramadhan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad telah mengumumkan tarikh 1 Ramadan 1444H di Malaysia akan bermula pada hari Khamis, 23 Mac 2023.
Ini bermakna umat Islam akan mula menjalani ibadah puasa bermula hari esok.
Lafaz Niat Puasa di Bulan Ramadhan
Puasa ertinya menahan diri daripada makan & minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Kita lihat semula niat untuk berpuasa iaitu:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
Menghidupkan Ramadhan
Sebagai bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT, bulan Ramadhan menawarkan kelebihan dan ganjaran yang besar kepada kita. Pelbagai peristiwa besar seperti peristiwa penurunan al-Quran & pembukaan kota Mekah berlaku di dalam bulan Ramadhan. Allah SWT juga mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam Lailatul Qadr.
Allah SWT juga menggandakan amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengdirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”.
[Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870]
Justeru marilah kita bersama menghidupkan Ramadhan ini dengan meningkatkan amal ibadah kita di samping menjalani ibadah puasa dengan penuh pengertian.
Marhaban Ya Ramadhan!