Kelayakan Piala Dunia 2026: Harimau Malaya Menang Menentang Taiwan

Nasrul HanisSukan Leave a Comment

Darren Lok meraikan jaringan gol ke atas Taiwan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. Sumber: Laman Facebook Football Association of Malaysia.

Alhamdulillah syukur – kini peluang Harimau Malaya untuk layak ke pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dilihat semakin cerah selepas mencatat satu lagi kemenangan menewaskan Taiwan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei. Harimau Malaya sebelum ini telah menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi yang penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Agak mendebarkan apabila Harimau Malaya terikat 0-0 dengan Taiwan selepas tamat 45 minit separuh masa pertama. Percubaan terbaik pada minit ke-40 menerusi rembatan voli daripada Stuart Wilkin telah berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Taiwan, Pan Wen Chieh.

Separuh masa kedua menyaksikan Kim Pan-gon membuat rombakan strateginya dengan memasukkan Darren Lok dan Endrick Dos Santos selaku pemain gantian. Keputusan tersebut akhirnya berbaloi apabila Darren Lok berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan dan juga gol kemenangan skuad negara pada minit ke-72.

Kejayaan menang ke atas Taiwan membolehkan Harimau Malaya kini mengumpul 6 mata dan selepas dua perlawanan, Malaysia kini berada di kedudukan teratas Kumpulan D.

Kim Pan-Gon ketika ditanya mengenai Harimau Malaya yang dikatakan menggunakan ramai ‘pemain import’ dan membolehkan kemenangan skuad negara telah mengatakan bahawa pemain warisan adalah berdarah kacukan jadi mereka berdarah Malaysia dan tidak boleh dianggap sebagai pemain import.

“Mereka membuktikan kemampuan, kesetiaan dan komitmen jadi tiada pihak yang sepatutnya mempertikai perkara ini. Perkara ini sah mengikut undang-undang dan daripada mempertikaikannya, lebih baik kita menikmati bola sepak,”

– Kim Pan-Gon, Jurulatih Harimau Malaya

Kita mengharapkan Harimau Malaya akan terus mempamerkan aksi cemerlang untuk perlawanan-perlawanan seterusnya dan membuka jalan yang lebih luas untuk meneruskan langkah menuju pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Rujukan

  1. Zulfaizan Mansor, BH Online. Harimau Malaya, Taiwan buntu babak pertama.
  2. Firdaus Hasim, MyMetro. Gol Darren julang Harimau Malaya.
  3. Astro Awani. Darren wira Harimau Malaya raih kemenangan penting menentang Taiwan.
  4. Muhamad Ardie, Kosmo! Kelayakan Piala Dunia: Malaysia berjaya benam Taiwan.
  5. Syafiq Aznan, BH Online. Pan Gon bidas media Taiwan persoal barisan ‘import’ Harimau Malaya.
  6. Laman Facebook Football Association of Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *