Alhamdulillah pada 5 November 2016 saya telah dijemput sebagai salah seorang panel untuk sesi Coffee Talk, salah satu slot perkongsian dalam seminar What’s Next? bertempat di Institut Penilaian Negara (INSPEN). Seminar ini telah dianjurkan bersama oleh iRealty Management dan Alumni INSPEN bertujuan untuk memberi pencerahan kepada Probationary Estate Agent (PEA), Real Estate Negotiator (REN) dan masyarakat mengenai perjalanan PEA menjadi Registered Estate Agent (REA).
Apakah itu PEA?
Probationary Estate Agent (PEA) atau Ejen Hartanah Percubaan adalah mereka yang namanya berdaftar sebagai Ejen Hartanah Percubaan dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartatanah Malaysia (LPPEH). Kelayakan akademik yang diiktiraf diperlukan untuk menjadi seorang PEA dan tempoh percubaan adalah 1 hingga 2 tahun bergantung kepada kelayakan akademik PEA.
Sebagai seorang PEA, selain mewakili agensi dalam transaksi hartanah, juga bertanggungjawab menjalani Test of Professional Competence (TPC) yang melibatkan mengisi Work Diary dan menyiapkan tugasan-tugasan yang diwajibkan oleh LPPEH. Kemudian mereka akan dipanggil untuk sesi temuduga dengan panel yang ditetapkan oleh LPPEH. Setelah PEA berjaya di dalam temuduga ini, barulah seseorang itu lulus Part III dan layak untuk mendaftar sebagai seorang Registered Estate Agent (REA) atau ejen hartanah berdaftar.
Menjadi ejen hartanah berdaftar melayakkan seseorang itu melantik 20 orang REN di bawahnya dan ditambah lagi 10 orang dengan kelulusan LPPEH. Seorang REA juga layak untuk menubuhkan agensi hartanah berdaftar dengan sendiri.
Mr. Alex Gomez & REMAX Malaysia
Seminar dimulakan dengan ucapan aluan Presiden Alumni INSPEN sebelum diteruskan dengan perkongsian dari Mr. Alex Gomez & rakan-rakannya dari REMAX Malaysia. Mr. Alex yang merupakan salah seorang ahli Lembaga LPPEH dan juga Chairman REMAX Malaysia, berkongsi sedikit sebanyak mengenai statistik semasa industri hartanah dan hal-hal berkaitan polisi LPPEH.
Sesi ini kemudian diteruskan oleh Mr. Andre Keller dan Mr. Taco yang berkongsi mengenai REMAX dan REMAX Malaysia. Menurut mereka, zaman ini adalah zaman di mana teknologi berkembang pesat dan kita harus memikirkan bagaimana generasi depan menggunakan teknologi dalam transaksi hartanah. Dalam menyediakan khidmat terbaik kepada pelanggan, ejen hartanah mestilah memiliki kemahiran yang tinggi dan bukan sekadar menjual. Kata Mr. Taco “They will not look for listings, the will search for the specialists!”
Perkongsian yang baik dan akan saya manfaatkan beberapa perkara untuk agensi seliaan saya Alam Harta Realty.
Penerangan Mengenai PEA & Teknik Mengisi Work Diary
Usai solat Zohor seminar diteruskan dengan penerangan mengenai PEA oleh saudara Erman Taib dari iRealty Management. Penerangan beliau merangkumi perkara-perkara asas yang perlu difahami seorang PEA termasukalah garis masa yang mesti dilalui untuk menjadi seorang REA.
Perkongsian diteruskan oleh saudara Muhazrol Muhamad dari AREM Malaysia mengenai teknik mengisi Work Diary. Ada pelbagai teknik dan cara untuk mengisi Work Diary ini namun yang penting adalah disiplin dan pengurusan masa yang betul di mana PEA mestilah merancang untuk menyiapkan Workl Diary dengan segera. Bak kata beliau “every second counts!”
Coffee Talk: Perkongsian Dari Mereka Yang Telah Berjaya
Kemudian bermulalah sesi Coffee Talk, sesi di mana saya dijemput untuk menjadi salah seorang panel di samping moderator saudara Erman Taib, saudara Afizan Mokhtar prinsipal iRealty Management dan saudara Naz Abdullah Shoblee dari Propland Consultancy.
Kami senada dalam menekankan betapa pentingnya ada semangat, kemahuan dan disiplin yang tinggi dalam menyelesaikan tanggungjawab seorang PEA dan segera menuju objektif menjadi seorang REA. Saya juga menegaskan kepentingan meletakkan target dan membuat perancangan yang jelas untuk memberi motivasi kepada diri sendiri dalam menuju kejayaan menjadi REA.
Selain berkongsi pengalaman dan tips melalui soalan-soalan dari moderator, kami juga menjawab beberapa persoalan dari peserta. Alhamdulillah saya melihat para peserta berpuashati dengan jawapan dari kami. Semoga perkongsian dari kami mampu memberi inspirasi kepada para peserta untuk mencapai matlamat dan kejayaan yang diharapkan.
INSPEN Bumi Bertuah
Saya gembira dapat kembali ke INSPEN, tempat di mana saya meperolehi Sijil Agensi Harta Tanah yang melayakkan saya menjadi seorang PEA dan kemudian REA. Seminar ini memberi peluang kepada saya untuk berbakti dan berkongsi kembali dengan mereka yang lain.
Saya berharap dapat menjejakkan lagi kaki ke INSPEN untuk sesi perkongsian seterusnya dan juga untuk aktiviti dan acara yang memberi manfaat kepada industri hartanah yang dicintai ini InsyaAllah.
Comments 1
assalamualaikum. terima kasih untuk penerangan di atas.
saya merupakan pelajar diploma in Estate Management dan sedang menjalani praktikal di sebuah agensi hartanah berdaftar. saya ada beberapa soalan untuk ditanya.
1) bolehkah selepas tamat praktikal saya ingin mendaftar sebagai PEA dan dalam masa yang sama saya menyambung Ijazah?
2) seperti saya maklum, saya belajar diploma in Estate management, jika saya ingin mendaftar PEA adakah saya juga perlu untuk membuat part 1-written examination atau boleh terus membuat part 2 dan berapa tempoh diperlukan ?
sekian terima kasih