Tahniah Tun Mahathir PM Ke-7

Nasrul HanisNegara Leave a Comment

Alhamdulillah setelah dengan rasminya keputusan Pilihanraya Umum Ke-14 diumumkan yang berpihak kepada Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga telah memenangi kerusi Parlimen Langkawi telah selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara sekitar 9.55 malam tadi.

Beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003 dan telah bersara selama 15 tahun dari politik. Pada umur 92 tahun, beliau adalah Perdana Menteri yang tertua di dunia ketika ini.

Setelah bersengkang mata menanti keputusan rasmi yang diumumkan pada awal pagi tadi, saya dan keluarga ternanti-nanti pula upacara angkat sumpah Perdana Menteri yang sudah tentu tercatat sebagai satu sejarah penting untuk negara ini.

Celik mata sahaja Tun Mahathir (ketika itu Datuk Seri) telah pun menerajui negara sebagai Perdana Menteri. Mungkin perasaannya berbeza dengan mereka yang telah melalui zaman Perdana Menteri sebelumnya, namun terasa bagaikan zaman kecil berulang sekali lagi. Pastinya ramai yang merasa bangga menjadi sebahagian dari sejarah penting negara. Ini adalah kerana Malaysia tidak pernah diterajui kerajaan selain kerajaan Barisan Nasional (sebelumnya bernama Perikatan) sejak kemerdekaan negara.

Semoga Tun Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia dan barisan kepimpinannya akan membawa Malaysia yang tercinta ini menuju kegemilangannya. Kita pernah digelar “Harimau Asia” suatu ketika dahulu. Walaupun menjadi sesuatu yang telah diumumkan sebelum ini yang Tun Mahathir tidak akan memerintah untuk sepenggal penuh sebagai Perdana Menteri, sudah pasti tempoh 5 tahun ini akan menjadi penentu samada mandat yang telah diberi rakyat ini dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan yang baharu demi kebaikan rakyat dan negara.

PRU14 telah berakhir. Masa untuk kita sama-sama bekerja membangunkan negara.

Tahniah Tun Mahathir – Perdana Menteri Malaysia ke-7!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *