
Dalam kemeriahan rumah terbuka dan juga ketika kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan, ada di antara kita yang akan dihidangkan dengan pelbagai juadah enak seperti lemang, ketupat, rendang, dan kuih-muih yang menggoda selera. Memang meriah.
Namun, dalam kemeriahan beraya dan menikmati hidangan yang pelbagai, jangan kita lupa untuk menjaga kesihatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengambilan makanan yang tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak dan meningkatkan risiko penyakit kronik. Berat badan yang berjaya diturunkan sepanjang 30 hari berpuasa mungkin meningkat semula hanya selepas 15 hari menyambut Hari Raya.
Jadi, macam mana nak pastikan kita tetap sihat sepanjang Syawal? Jom kita tengok beberapa tips mudah:
- Pilih hidangan yang lebih sihat: Kalau ada pilihan, utamakan makanan yang kurang berminyak dan bersantan. Misalnya, kalau biasanya rendang dimasak dengan santan pekat, apa kata cuba kurangkan atau gantikan dengan susu rendah lemak.
- Makan dalam kuantiti sederhana: Walaupun semua hidangan nampak sedap, cuba ambil dalam portion yang kecil. Ingat, kita nak rasa semua, bukan kenyang dengan satu jenis makanan saja.
- Utamakan buah-buahan dan sayur-sayuran: Selain kuih-muih, sediakan juga buah-buahan segar sebagai pencuci mulut. Ia bukan saja menyegarkan, tapi juga membantu penghadaman.
- Minum air kosong secukupnya: Elakkan minuman manis atau berkarbonat. Air kosong adalah pilihan terbaik untuk kekal hidrasi.
- Aktif bergerak: Selepas menikmati hidangan, ambil masa untuk bergerak aktif. Mungkin boleh berjalan kaki sekejap atau bermain dengan anak-anak di halaman rumah.
Ingatlah, bersederhana adalah kunci.
Dalam hadis riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”
Semoga Aidilfitri kali ini membawa kegembiraan dan pada masa yang sama kesihatan yang berpanjangan buat kita semua.
Rujukan
- moh.gov.my. Makan Secara Sihat di Hari Raya.
- Maktabah Al Bakri. 5428: Hadith 40: Adab Makan.
- Mohd Shahrizal Nasir, myMetro. Perut Lubuk Penyakit.