Kedah Juara TM Piala Malaysia 2016

Pasukan bolasepak negeri Kedah sekali lagi layak ke final Piala Malaysia dan kali ini saya memilih untuk menonton perlawanan piala berprestij ini di stadium. Kebetulan pula anak saudara yang baru selesai UPSR teringin nak masuk stadium.

2 Jam Membeli Tiket Online

Seperti kebanyakan penggemar pembelian atas talian, saya juga memilih untuk membeli secara online iaitu melalui laman web Ticket Hotline. Dengan agakan yang trafik web mesti penuh punya, saya bersedia seawal 15 minit sebelum jam 10 pagi. Malangnya pada waktu itu jugalah laman web sudah tidak boleh dibuka. Kemudian antaramuka laman web berubah dan saya meneruskan usaha membeli. Masih gagal namun saya terus mencuba.

Seingat saya lebih dari 20 kali saya masuk ke paparan order tapi tak berjaya bila nak buat bayaran. Hal yang sama berlaku kepada pembeli-pembeli atas talian yang lain yang berkongsi hal yang sama di Facebook. Hampir putus asa namun mengenangkan hasrat anak buah saya teruskan mencuba. Hanya dalam 2 jam selepas tu barulah berjaya masuk ke paparan bayaran (yeay!) dan akhirnya pembelian dilakukan dengan jayanya.

Harapnya Ticket Hotline dan penyedia tiket atas talian yang lain dapat bersedia lebih awal dan lebih efektif selepas ini.

Penebusan Tiket di Stadium Melawati

Hari Khamis keesokannya dah bersedia untuk menebus tiket yang dibeli semalam. Tepat 2 petang saya sudah sampai di Stadium Melawati.. pejabat pun di Seksyen 13 saja. Proses memang pantas mungkin sebab belum ramai yang hadir menebus tiket. 2.11 petang sudah ada di pejabat semula. Tabik untuk Ticket Hotline untuk proses penebusan yang mudah ini.

Hari Perlawanan

Sampai di kawasan stadium dalam 6.30 petang dan seperti biasa parking saja di tepi jalan. Masuk sahaja stadium Shah Alam terus terasa kehangatan perlawanan akhir dan sorakan semangat penyokong kedua-dua pasukan. Memang benar sukan menyatukan kita.

Memandangkan kami masuk pun lewat jadi berdirilah kami lebih kurang 6 jam sehingga selesai perlawanan.

Perlawanan Yang Mendebarkan

Memang perlawanan yang mendebarkan terutamanya apabila kedua-dua pasukan saling menyerang balas. Ada beberapa kekasaran namun saya merasakan keseluruhannya perlawanan diadili dengan baik. Saat palingย suspenseย ialah apabila tendangan percuma Liridon singgah di tiang gol lawan pada saat-saat akhir perlawanan.

Akhirnya penalti juga yang menentukan pemenang Piala Malaysia edisi ke-90 ini. Apa yang boleh saya katakan sebagai peminat ialah saudara Ifwat memang seorang penjaga gol yang bagus. Bukan sahaja beliau bertindak cemerlang sepanjang perlawanan, malah beliau juga menyelamatkan satu tendangan penalti yang membuka semula untuk Kedah bergelar juara.

Selangor juga tidak kurang hebatnya terutamanya kapten Selangor, Andik Vermansah yang memang laju lariannya. Anda boleh baca analisis taktikal perlawanan akhir dari Semuanya Bola di artikelย Analisis Taktikal Final Piala Malaysia 2016: Pertukaran Taktikal Beri Output Berbeza.

Jaringan Kemenangan

Bak kata pepatah, tuah di kaki siapa yang tahu. Malam itu memang malam bertuah untuk saudara Rizal Ghazali. Satu gol untuk Kedah dan kemudian jaringan penalti terakhir yang memberikan kemenangan untuk pasukan Kedah. Seperti dijangka, beliau dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Tahniah! Sebagai orang Baling sudah tentu saya juga bangga dengan kejayaan ini.

Khabarnya beliau menjadi rebutan kelab-kelab bolasepak yang lain namun harapan sebagai peminat semoga beliau bersama lagi dengan Kedah untuk musim-musim hadapan. Mungkin ada rezeki untuk bergelar juara Liga Super dan layak ke AFC pula InsyaAllah.

Berbaloi

Walaupun berdiri lebih kurang 6 jam dan sampai di rumah selewat 3 pagi, bagi saya ini adalah satu perlawanan yang berbaloi untuk ditonton di stadium. Bukan sahaja boleh merasai sendiri semangat para pemain dan para penyokong, malah sorakan kita juga sebenarnya sedikit sebanyak memberi semangat kepada pemain pasukan kesayangan kita.

Memang benar banyak lagi yang perlu dipertingkatkan pemain-pemain kita namun sebagai peminat dan penyokong teruskan menyokong dengan cara yang sihat demi kemajuan bolesepak negara.

Tidak mustahil suatu hari nanti bolasepak kita akan kembali dihormati dan digeruni seperti dahulu.

0 comments… add one

Leave a Comment