Bismillah. Ketika artikel ini ditulis, saya masih berada di dalam wad menjalani proses penyembuhan selepas diserang rotavirus.
Rotavirus – yang dinamakan dari Latin “rota” bermaksud roda kerana bentuknya seperti roda, berupaya menjangkiti usus dan mengakibatkan demam tinggi, sakit perut berterusan, muntah dan cirit-birit. Muntah dan cirit-birit boleh menyebabkan kekurangan cecair badan (dehidrasi) dan boleh mengancam nyawa jika cecair badan tidak diganti dengan segera.
Jangkitan boleh berlaku kepada kanak-kanak dan orang dewasa terutamanya yang terlibat dalam penjagaan kanak-kanak. Rotavirus ini mudah berjangkit dengan penyebaran daripada najis individu dijangkiti ke mulut individu yang lain melalui kaedah tangan ke mulut.
Saya pada mulanya mengalami kesakitan pada perut yang dianggap berkemungkinan dari salah makan. Namun setelah melalui fasa cirit-birit sehingga keletihan yang teramat, saya dan isteri terus bergegas ke hospital berdekatan untuk medapatkan rawatan segera. Keputusan ujian mendapati saya sah dijangkiti rotavirus dan terus diberi ubat-ubatan dan dimasukkan ke wad.
Pelbagai teori bermain di minda kami dari mana saya dijangkiti. Namun akhirnya kami sependapat apa yang penting ialah proses penyembuhan yang secukupnya. Alhamdulillah cirit-birit telah berhenti dan badan terasa kembali segar. Selepas ini apa yang perlu diamalkan ialah penjagaan kebersihan khususnya membasuh tangan dengan kerap terutama sekali apabila melibatkan makanan.
Keadaan yang dilalui tersebut merupakan saat kesakitan yang mendebarkan. Saya bersyukur kerana telah mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan segera dan tidak menunggu lama setelah mengalami simptomnya.
Rujukan
- MyHealth. Jangkitan Rotavirus.
- Portal Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis. Awas Serangan Rotavirus Pada Anak. 6 Fakta Ini Sangat Penting!
- Hello Doktor. Jangkitan Rotavirus.
- Nor ‘Asyikin Mat Hayin, MyMetro. Jangkitan Rotavirus.
- Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengasuhan Positif. Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Rotavirus.
Comments 2
Pingback: Tahniah Kepimpinan Baharu Alumni INSPEN 2023/2025 | Nasrul Hanis
Pingback: Larian Perpaduan 2023 | Nasrul Hanis