Teori Hierarki Keperluan Maslow: Dorongan Motivasi Manusia

Nasrul HanisMotivasi Leave a Comment

Teori Hierarki Keperluan Maslow telah dikemukakan oleh Abraham Maslow, seorang ahli psikologi kemanusiaan melalui bukunya A Theory of Human Motivation yang diterbitkan pada tahun 1943.

Teori ini menyatakan dalam diri setiap indvidu terdapat lima keperluan yang perlu dipenuhi. Apabila satu keperluan telah dicapai, keperluan yang seterusnya akan menjadi satu keperluan atau keutamaan seterusnya. Setiap manusia akan bermotivasi memastikan tahap keperluan terendah dipenuhi terlebih dahulu sebelum berusaha untuk memenuhi keperluan tahap yang lebih tinggi.

#1 Keperluan Fisiologi

Keperluan paling asas bagi seorang manusia adalah untuk terus hidup dengan memerlukan udara, air, makanan dan tempat tinggal. Setiap organisma bernyawa pada asasnya memerlukan elemen-elemen ini untuk hidup, apatah lagi manusia. Keperluan lain tidak akan dilihat selagi kehendak ini belum dipenuhi.

#2 Keperluan Keselamatan

Setelah keperluan paling asas dicapai, manusia akan mula mencari keselamatan hidup seperti pekerjaan, peranan di dalam masyarakat, kewangan, kesihatan, dan undang-undang untuk mengelak dari ancaman dalaman dan luaran. Keperluan ini diperlukan untuk menjamin kesejahteraan hidup.

#3 Keperluan Kasih Sayang & Kepunyaan

Pada tahap ini, manusia memerlukan suatu hubungan dengan manusia yang lain yang menyentuh isu kekeluargaan, persahabatan dan hubungan intim. Justeru keperluan ini menyebabkan manusia tidak boleh hidup bersendirian.

#4 Keperluan Penghargaan Kendiri

Tahap seterusnya melibatkan kehendak manusia untuk mendapatkan penghargaan sendiri khususnya kuasa ke atas diri sendiri. Pada masa yang sama seorang manusia pada tahap ini berkehendak kepada kekuatan, kebolehan dan kepakarannya seterusnya dihormati dan disanjungi, juga berpeluang menhormati manusia yang lain.

#5 Keperluan Kesempurnaan Kendiri

Tahap keperluan yang paling tinggi di dalam Teori Hierarki Keperluan Maslow ialah mencapai kesempurnaan kendiri berdasarkan cita-cita yang diidamkan. Semua tahap yang sebelumnya perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum tahap ini dapat dilunasi.

Kajian Abraham Maslow mendapati semakin tinggi keperluan seorang manusia, maka semakin kurang pergantungannya kepada persekitaran sekelilingnya kerana mampu menggunakan pengalamannya untuk menentukan tingkah laku sendiri. Pada ketika ini motivasi manusia bergantung kepada kemahuan sendiri, kemampuan, bakat, potensi dan kreativitinya.

Rujukan

  1. Che’gu Man. Teori Keperluan Abraham Maslow.
  2. Kendra Cherry, Reoveme. Lima Tahap Hierarki Keperluan Maslow.
  3. Jurnal Kepimpinan. Model Maslow Dalam Perkembangan Pembelajaran Murid di Sekolah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *